Saturday, 27 May 2017

MASA DEPAN ICT DALAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

Penggunaan ICT telah menjadi agenda penting dalam sistem pendidikan masa kini. Penggunaan ICT dalam P&P kini telah diiktiraf sebagai salah satu pendekatan P&P dalam kelas prasekolah di samping lain-lain pendekatan P&P prasekolah. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kurikulum baru yang digubal menggabungkan elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup dalam proses P&P, membabitkan semua mata pelajaran, adalah sebahagian agenda kerajaan untuk menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua. 

Penggunaan ICT dalam P&P merupakan cabaran untuk guru prasekolah (Myhre, 1998). Pendekatan ICT dalam P&P harus dirancang dan dilaksanakan sesuai dengan usia, minat dan tahap perkembangan kanak-kanak. Keberkesanan ICT dalam pendidikan prasekolah bergantung kepada pengetahuan, kemahiran dan sikap guru prasekolah (Haugland & Wright, 1997). Guru adalah agen utama dalam inovasi pendidikan. Mereka merupakan salah satu faktor utama dalam mengadopsi, mengintegrasikan, dan menggunakan ICT di sekolah (Nash & Moroz, 1997). 

Oleh itu, boleh dikatakan bahawa keberkesanan penggunaan ICT dalam P&P banyak bergantung kepada guru. Ini membawa kepada masalah seterusnya iaitu berkaitan dengan sikap guru terhadap penggunaan ICT dalam proses P&P. Sikap guru memainkan peranan yang penting bagi memastikan ICT digunakan secara efektif dan juga mempengaruhi tahap keyakinan guru terhadap penggunaan komputer dalam bilik darjah (Delcourt & Kinzie, 1993). Ramai guru yang mengalami perasaan gelisah apabila mereka perlu menggunakan komputer dalam kurikulum (Woodrow, 1991). Sikap negatif iaitu kurang keyakinan diri dan kekurangan guru berkemahiran komputer merupakan halangan serius kepada pengintegrasikan komputer ke dalam bilik darjah. Sekiranya guru tidak rasa cemas menggunakan komputer, maka semakin besar kemungkinan guru mengintegrasikan komputer dalam kurikulum (Dupagne & Krendl, 1992).

Kebanyakan guru prasekolah di Malaysia kurang menggunakan ICT dalam P&P disebabkan masalah yang mereka hadapi. Hannafin dan Savenye telah mengenal pasti beberapa faktor yang menyebabkan guru enggan menggunakan ICT dalam P&P: kelemahan reka bentuk perisian, skeptisisme tentang keberkesanan komputer dalam meningkatkan hasil pembelajaran, kurang sokongan pentadbiran, masa dan usaha yang diperlukan untuk belajar teknologi dan bagaimana menggunakannya untuk mengajar, dan takut kehilangan kuasa mereka di kelas kerana P&P berpusatkan pelajar (Hannafin, 1999; Savenye, 1993). Masalah yang menyumbang kepada kegagalan penggunaan ICT dalam P&P perlu ditangani bagi memastikan pengintegrasian ICT dalam P&P prasekolah mencapai objektif dan matlamatnya.

Sikap guru memainkan peranan penting dalam pengintegrasian ICT dalam P&P. Ini merupakan satu isu yang perlu ditangani bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan penggunaan ICT dalam P&P. Tsitouridou dan Vryzaz (2003) telah mengkaji sikap guru prasekolah terhadap penggunaan ICT. Dapatan kajian mereka menunjukkan sikap guru dipengaruhi oleh penggunaan komputer di rumah, pengalaman dan kemahiran komputer serta kursus komputer yang dihadiri.

No comments:

Post a Comment